Sunday, 27 January 2013

"Sumpah sesumpah.."

akukah haiwan sesumpah?

bila aku menyerupa, 
mencuba menjadi serigala yang bengis wajahnya, 
dan sinis taringnya, kononya dialah raja mergastua,


akukah haiwan sesumpah?
pabila aku menyerupa,
mencuba menjadi angin yang gemalai tiupnya,
dan sepi desirnya, kononya dialah penitip khabar gembira,


akukah haiwan sesumpah?
pabila aku menyerupa, 
mencuba menjadi awan yang gebu senyumnya,
dan teduh limbuhnya, kononnya permatang itu dialah peneduhnya,


akukah haiwan sesumpah, 
pabila aku menyerupa, 
mencuba menjadi pungguk yang setia rindunya, 
dan merdu siulnya, kononnya bulan itu dialah perindunya,


akukah haiwan sesumpah, 
pabila aku menyerupa, 
mencuba menjadi helang yang angkuh matanya, 
dan zalim kukunya, kononnya langit itu dialah yang punya,

Akukah serigala? akukah angin? akukah awan? akukah pungguk? akukah helang?
andai aku sentiasa menyerupa, 
menjadi sesumpah di mana sahaja, 
bagaimana bisa ku menggapai bahagia, 
sedangkan hidup itu perlu pada kebenaran jiwa, ketulusan kata, dan kejujuran makna,
bukan sesumpah, bukan menyerupa, dan bukan juga dusta..


~Salam kasih~
Tia shm
p/s: Just the way you are :)



"seriously loving u.."

Minat. Suka. Cinta. 

Benci. Pedih. Lirih.

Rindu. Sendu. Pilu. 

salahkah aku ; membiar diri mencintai kamu?
atau
salahkah hati ; membiar kamu mengusik kalbuku?

Salah "hati"?
atau 
salah "aku"?

yang pasti, 
doaku pada Illahi,
"jatuhkanlah hatiku, pada insan yang sentiasa mencari cintaMu, dan membawa aku dekat padaMu"
bila tiba waktu, 
aku dan pemilik cintaku, 
kelak beradu dibawah rahmatNya,
bersama menjejak cinta ke syurga,
Mahabbah fillah..


~Salam kasih~
Tia shm 

Saturday, 26 January 2013

"Kau yang bernama Along.."

Along, 
di balik wajah kaku itu, 
terpancar kasih yang mendamaikan, 
terpancar sayang yang kau cuba sembunyikan..

Along,
senyummu mengusir jerih yang berselirat di wajah tulusmu,
tawamu mengubat pahitnya rasa dunia,
dan tangan itu, setia memimpin di denai landai, setia menongkat di curam lurah.

Along,
mata hitammu menjadi saksi,
adik-adikmu kehilangan insan dikasihi,
lalu kau berkorban segenap rasa, 
agar saudaramu kembali tertawa,
bagimu - tawa mereka adalah segalanya..

Along, 
biarpun bahumu derita dihempuk amanah, 
yang begitu berat dan sarat,
hingga sukar untukmu melangkah, 
namun,
kau tetap menapak, 
hingga kakimu berdarah, parah mengagah arah,
kau tetap tenang menerima,
biarpun badai melambung bahtera,
dan,
kau tetap setia,
mendendangkan kami keroncong bahagia.

Sungguh,
Kau yang bernama Along..




~Salam kasih~ 
Tia shm 

"Kasih kekasih.."

ku kan selalu menunggu,
mengintai wajahmu di balik kejora menjauh,
mendengar hela nafasmu seiring puputnya bayu,
menyoroti langkahmu di balik rimbunan rindu,
biarpun kau tidak menoleh padamu,
memburu bayangngmu sudah cukup bererti buatku,
kasih kekasih, aku perindumu.

~Salam kasih~
Tia Shm

"tidak mengapa.."

bila sahaja ada yang menyakiti, 
katakan tidak mengapa, 
"aku tidak akan membenci, 
kerana aku juga pernah menyakiti diri ini,
lalu darinya aku belajar menghargai.."

bila sahaja ada yang melukai, 
katakan tidak mengapa, 
"aku tidak akan berdendam,
kerana aku juga pernah melukai jiwa halusku, 
lalu darinya aku belajar untuk mengerti.."

bila sahaja ada yang tidak percaya, 
katakan tidak mengapa, 
"aku tidak akan melatah, 
kerana aku juga pernah khuatir pada kuatnya diri, 
lalu darinya aku belajar untuk mendepani.."  

Kata orang, 
"dari titisan air mata, kita belajar untuk mengerti.
dari rasa khuatir, kita belajar untuk mempercayai, 
dari rasa kehilangan, kita belajar menghargai.

Kata orang, 
"dari rasa bersalah, kita belajar memaafi, 
dari sebuah harapan, kita belajar berjuang,
dari sebuah perjuangan, kita belajar berkorban, 
dari sebuah pengorbanan, kita belajar mengenali diri.."

~Salam kasih~
Tia Shm 

"Kemaafan.."

Katakan,
bila kita berbohong pada ibu,
atau berkasar pada ayah,
lantas kita memohon maaf,
Maka mudah sahaja mereka memaafkan,
Kerana sayangnya mereka pada kita..

Jadi katakan,
bila kita berbohong pada Allah,
atau berkasar pada Allah,
atau memungkiri janji denganNya,
lantas kita memohon maaf,
Maka bisakah kau bayangkan,
betapa Allah lebih cepat memaafkan,
kerana Allah lebih sayang,
bukankah Allah itu Maha Penyayang? :)


~Salam kasih~
Tia Shm

"Tahukah kamu.."

Tuhan tahu, 
hatimu mudah gundah, 

Tuhan tahu, 
hatimu senang lupa, 

Tuhan tahu,
hatimu bisa menerbit dusta,

Tuhan tahu, 
hatimu gampang dikelabui dosa,

Tuhan tahu itu,

Pun begitu,
Dia mahu kamu tahu, 
Bahawa Dia ada untuk kamu, 
selagi kamu perlu.

Dia mahu kamu mengerti, 
Bahawa Dia sentiasa menanti, 
biar ke ceruk mana sahaja kamu mencoba lari.

Dia mahu kamu sedari, 
Bahawa Dia sudi memaafi, 
biar bergunung Dia kau lukai..

Tuhanmu, 
Dialah Tuhan yang menciptamu, 
yang tahu liku hidupmu,
yang mendengar esak tangismu,
yang melihat senyum tawamu,
sujudlah, 
cintalah,
rindulah,
kepadaNya kelak kita kembali.


~Salam kasih~
Tia Shm

"Illahi.."


Ya Illahi,

Kuatkan hatiku,
setelah banyaknya lemah Kau beri.

Kukuhkan diriku,
setelah berduyun goyah Kau titip.

Perelokkan diriku, 
setelah berpukal ujian Kau serah.

Lenturkan diriku, 
setelah berlonggok nikmat Kau coba.

Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati,
Selamatkanlah aku dari dibuai selesa berdosa, 
Selamatkanlah aku dari dibaham jalan kelam, 
Selamatkanlah aku dari dirantai lalai,
Wahai Tuhan empunya rahsia, 
pada-Mu aku berserah..

"Rindu Terlerai.."



Air mata pilu,
Setia menemani tubir mataku,
Seakan mencoba menidakkan kebenaran,
-engkau aku harus lupakan,
Terlerai kasih yang daku patrikan,
Sedari awal kita sangsi- apa mungkin cinta kan bersemi.
Ternyata,
Kau tidak ku punya,
Tergelincir butiran memori yang memantul di cermin hatiku,
Satu persatu, 
aku akur.
Embun pagi tidak lagi mesra,
Enggan menyejukkanku dengan pepayung bahagia,
Hanya kurasakan titisan-titisan luka,
Menirusi sekeping hati yang lara,
Kasih, 
kerinduanku padamu yang kucinta,
Akhirnya mampir ke penghujung nestapa,
Dan rindu itu,
Terlerai akhirnya..

~Salam kasih~ 
Tia Shm 

                                                                                     

"sahabat yang terikat.."


Entah bagaimana,
Muqadimah niat mencelikkan kelam dunia,
fitrah insan tersimpul jua,
Bagaimana bisa ku tolak,
Pabila takdirNya mendahului segala,
Kau dan aku,
Dari bersahabat - terpatrinya cinta..

Aku bisa mendengar dendang kalbumu,
Taktala ia mula berirama,
Kutahu rentak melodinya- kerna lagu kita serupa..

Dalam selitan hari-hari yang indah,
Yang kita lalui bersama,
Tangis dan tawa memori terindah,
Hingga sisa-sisa pertemuan itu bagai enggan dilepaskan,
Kau tahu suatu masa kita akan terpisah,
Bukan kerna marah namun demi cita-cita,
Jasad terpisah berbatu nautika - namun hatiku dan hatimu menjadi satu,
Kau lepaskan permatamu pergi,
seiring hembusan angin rindu,

~Salam kasih~

Tia Shnm

"dikau.."



Kau bertatih mencoba mengenal dunia,
aku tahu kau mendamba kebenaran hidup,
lalu kau mencarinya, kau menjejakinya.

kau  mencari antara pepasir dimanakah permata,
kau mencari antara pepohon dosa dimanakah akar  taubatnya,
kau mencari antara lembahan onar dimanakah pembasuh khilafnya..
dan kau terusan mencari..

Pintamu -ku mengiringi langkahmu
meniti buih lautan bersama disisimu,
alif ba ta- tutur bersamamu.
Namun aku tidak selamanya akan menunggu,
dengarlah angin yang menderu,
hanya bingkisan doa ku titip untukmu..

~Salam kasih~
Tia Shm  

"Mata.."



Kelu untukku berkata,  
Hanya mata bertatapan saat sang cinta mengolak rasa,
Bicara pada pandangan mataku,
Aku yakin,
Kau mengerti.

Kau juga yang mengiyakan, 
Mengapa perlu bibir bermadah, 
Andai mata bisa bicara?

~salam kasih

Tia Shm

"Kata hati.."



Dan ku kenalimu,
Berkata hati ini – “akukah rusukmu?”

Dan bayangmu memburu waktu,
Berkata hati ini – “ engkaukah perinduku?”

Dan rindu itu sendu,
Berkata hati ini – “kaukah cinta”?

Dan air mata itu beralun resah,
Berkata hati ini – ku perlukan senyummu..

Dan nafas sesak menyusur,
Berkata hati ini – “aku rindu kamu..”


Namun dikau,
Kau kerap mengatakan tidak,
Petanda gusarmu pada cinta,
Petanda ragumu pada bahagia..

Katamu,
“cinta itu masalah, cinta itu buta, dan membinasa”
Lalu ku kelu, ku tahu kau tipu,
Aku tahu kau benar cinta padaku.

Katamu lagi,
“dua dunia kita berbeza, bisakah intanku bahagia bersama?”
Lalu ku bisu, ku tahu kau pilu,
Aku tahu, kau derita merindu..

Jasad kita jauh terpisah,
Aku di sini memburu cita,
kau disana membina cita..

Hati pun enggan berkata lagi. 
                                                           


"Pelik.."


Aku berasa pelik,
Bila warna warni rupa kulihat,
Bila hingar bingar suara kudengar,
Bila berbalam bebayang dilimbuhan,

Aku berasa pelik,
Kabur kornea mataku,
Apakah hari sudah berdengkur? 
Jika senja, mungkin akal mengiyakan - memang samar,
Jika malam, mungkin hati membenarkan -memang gelita.

Sungguh, aku berasa pelik,
pada rupa, bebayang, dan suara,
pada senyum suria dan gelisah senja, 

Pelik, sedang manusia tidak menyedarinya,
antara benua -pelik itu tumbuhnya melata!

~Salam kasih~


~Tia SHM, 15Ogos, SK Kitobu~
*kepelikan,, datangnya dari belenggu perasaan

"Ketemu.."

Tidak betah hati menunggu, 
tiba waktu bertemu-Mu, 
sarat jiwa menanggung dunia, 
sedang penghabisan Kau-lah yang ku cinta.

Tiadalah tertahan hati merindu, 
khuatir berguguran kalungan Nur-Mu,
digaru rasa, paksa, dan dosa. 
Ya Rabb, aku pendambaMu!

Friday, 25 January 2013

"Bohong"

benar, aku hanya membohongi diri,
sedari awal, aku tahu jalanku kelam, 
mana mungkin gagak bisa menggapai merak,
mana mungkin air bisa menyatu minyak. 

aku tahu, wajah itu yang ku rindu, 
tapi kalbu merintih mengharap belas, 
tidak sanggup dihiris lirih, 
menganyam mimpi yang tidak pasti. 

aku bukan kesatria,
yang kau harap untuk sentiasa hadir kala kau perlu, 

aku bukan manikam, 
yang bisa memewahkan kala kau kekurangan,

aku bukan mawar merah, 
yang bisa kau oles kala kau merindukan,

aku,
hanyalah pemilik sekepal hati ini, 
yg sudi merasa belati meratah, andai dengannya bisa membuatmu sentiasa bahagia.

aku, 
hanya punya dua mata ini, 
yg sudi buta dalam gelita, andai dengannya bisa membuat jalanmu kemilau bercahaya.

aku, 
hanya pemilik dua telinga ini, 
yg sudi merasai sunyinya dunia, andai dengannya bisa membuatmu tersenyum semanis-manisnya.. 

~Salam kasih~

Tia Shm

Blog "Jentayu di Langit Biru.."

Alhamdulillah, syukur kepada Allah Ta'ala, dpt juga buat blog akhirnya.. Hehe.^_^
Blog ni, rasanya bukan diari peribadi. Lebih kepada ruangan penghargaan kendiri. 
"Menulis" is my passion. Tapi sy bukan siapa-siapa, hanya wanita biasa dengan ketinggian 168cm dan berat? hee.. berat la juga.. From now on, i declared Mr.Blog as my "way of thinking and seeing life".. Expressing myself through writting. Harap diberi tunjuk ajar. Salam kasih.:)
Tia Shm
sekarang boleh diberitahu..