Thursday, 7 February 2013

"itu aku..."

Berpalinglah ke kananmu, 
andai kau lihat reranting itu, 
yang halus dan rapuh, 
jangan pernah kau cantas, 
itulah aku.

Berpalinglah ke kirimu, 
andai kau lihat layang-layang itu, 
yang terawang dan menjauh,
jangan pernah kau lepas talinya,
itulah aku.

Sorotlah ke hadapanmu,
andai kau lihat kaca itu, 
yang mudah pecah dan bersisa,
jangan pernah kau jemu menjaganya, 
itulah aku.

Liriklah ke atas, 
andai dapat kau lihat mendung itu, 
yang kelabu dan sendu,  
jangan pernah kau benci hadirnya, 
itulah aku. 

Kemana sahaja kau hadapkan wajahmu, 
kau tidak akan dapat ketemu kesempurnaanku, 
aku bukan siapa-siapa, 
hanyalah reranting, lelayang, kaca, dan mendung kelabu itu,
yang manis itu bukan aku, 
yang indah itu juga bukanlah aku,
pun begitu, 
aku tetap setia mencintaimu, 
kerna asal ada kamu, 
hidupku sudah cukup bererti buatku.. 

-salam kasih-
Tia SHM