Wednesday, 30 October 2013

Rasa..


rasa "kerinduan"
kalau bisa aku gambarkan
seperti 
sungai tiada airnya
mengalir tanpa rasa

rasa "kehilangan"
kalau bisa aku gambarkan
seperti 
langit tiada birunya
terbentang tanpa makna

rasa "kekosongan"
kalau bisa aku gambarkan
seperti
angin tiada desirnya
menjejak tanpa arah 

rasa "kesepian"
kalau bisa aku gambarkan
seperti 
darah hilang merahnya
seolah itu bukan luka

rasa "kesakitan"
kalau bisa aku gambarkan
seperti
saat kau meninggalkan
menghadiahkan pandangan dan lambaian
yang aku tidak dapat mengertikan
mengapa kau melepaskan
sedang aku
masih memerlukan


Rasa itu memburu, tidak memberi waktu, di saat kita masih keliru


salam kasih
~tia shm~
31 Okt 2013

Thursday, 7 February 2013

"itu aku..."

Berpalinglah ke kananmu, 
andai kau lihat reranting itu, 
yang halus dan rapuh, 
jangan pernah kau cantas, 
itulah aku.

Berpalinglah ke kirimu, 
andai kau lihat layang-layang itu, 
yang terawang dan menjauh,
jangan pernah kau lepas talinya,
itulah aku.

Sorotlah ke hadapanmu,
andai kau lihat kaca itu, 
yang mudah pecah dan bersisa,
jangan pernah kau jemu menjaganya, 
itulah aku.

Liriklah ke atas, 
andai dapat kau lihat mendung itu, 
yang kelabu dan sendu,  
jangan pernah kau benci hadirnya, 
itulah aku. 

Kemana sahaja kau hadapkan wajahmu, 
kau tidak akan dapat ketemu kesempurnaanku, 
aku bukan siapa-siapa, 
hanyalah reranting, lelayang, kaca, dan mendung kelabu itu,
yang manis itu bukan aku, 
yang indah itu juga bukanlah aku,
pun begitu, 
aku tetap setia mencintaimu, 
kerna asal ada kamu, 
hidupku sudah cukup bererti buatku.. 

-salam kasih-
Tia SHM 

Sunday, 27 January 2013

"Sumpah sesumpah.."

akukah haiwan sesumpah?

bila aku menyerupa, 
mencuba menjadi serigala yang bengis wajahnya, 
dan sinis taringnya, kononya dialah raja mergastua,


akukah haiwan sesumpah?
pabila aku menyerupa,
mencuba menjadi angin yang gemalai tiupnya,
dan sepi desirnya, kononya dialah penitip khabar gembira,


akukah haiwan sesumpah?
pabila aku menyerupa, 
mencuba menjadi awan yang gebu senyumnya,
dan teduh limbuhnya, kononnya permatang itu dialah peneduhnya,


akukah haiwan sesumpah, 
pabila aku menyerupa, 
mencuba menjadi pungguk yang setia rindunya, 
dan merdu siulnya, kononnya bulan itu dialah perindunya,


akukah haiwan sesumpah, 
pabila aku menyerupa, 
mencuba menjadi helang yang angkuh matanya, 
dan zalim kukunya, kononnya langit itu dialah yang punya,

Akukah serigala? akukah angin? akukah awan? akukah pungguk? akukah helang?
andai aku sentiasa menyerupa, 
menjadi sesumpah di mana sahaja, 
bagaimana bisa ku menggapai bahagia, 
sedangkan hidup itu perlu pada kebenaran jiwa, ketulusan kata, dan kejujuran makna,
bukan sesumpah, bukan menyerupa, dan bukan juga dusta..


~Salam kasih~
Tia shm
p/s: Just the way you are :)



"seriously loving u.."

Minat. Suka. Cinta. 

Benci. Pedih. Lirih.

Rindu. Sendu. Pilu. 

salahkah aku ; membiar diri mencintai kamu?
atau
salahkah hati ; membiar kamu mengusik kalbuku?

Salah "hati"?
atau 
salah "aku"?

yang pasti, 
doaku pada Illahi,
"jatuhkanlah hatiku, pada insan yang sentiasa mencari cintaMu, dan membawa aku dekat padaMu"
bila tiba waktu, 
aku dan pemilik cintaku, 
kelak beradu dibawah rahmatNya,
bersama menjejak cinta ke syurga,
Mahabbah fillah..


~Salam kasih~
Tia shm 

Saturday, 26 January 2013

"Kau yang bernama Along.."

Along, 
di balik wajah kaku itu, 
terpancar kasih yang mendamaikan, 
terpancar sayang yang kau cuba sembunyikan..

Along,
senyummu mengusir jerih yang berselirat di wajah tulusmu,
tawamu mengubat pahitnya rasa dunia,
dan tangan itu, setia memimpin di denai landai, setia menongkat di curam lurah.

Along,
mata hitammu menjadi saksi,
adik-adikmu kehilangan insan dikasihi,
lalu kau berkorban segenap rasa, 
agar saudaramu kembali tertawa,
bagimu - tawa mereka adalah segalanya..

Along, 
biarpun bahumu derita dihempuk amanah, 
yang begitu berat dan sarat,
hingga sukar untukmu melangkah, 
namun,
kau tetap menapak, 
hingga kakimu berdarah, parah mengagah arah,
kau tetap tenang menerima,
biarpun badai melambung bahtera,
dan,
kau tetap setia,
mendendangkan kami keroncong bahagia.

Sungguh,
Kau yang bernama Along..




~Salam kasih~ 
Tia shm 

"Kasih kekasih.."

ku kan selalu menunggu,
mengintai wajahmu di balik kejora menjauh,
mendengar hela nafasmu seiring puputnya bayu,
menyoroti langkahmu di balik rimbunan rindu,
biarpun kau tidak menoleh padamu,
memburu bayangngmu sudah cukup bererti buatku,
kasih kekasih, aku perindumu.

~Salam kasih~
Tia Shm

"tidak mengapa.."

bila sahaja ada yang menyakiti, 
katakan tidak mengapa, 
"aku tidak akan membenci, 
kerana aku juga pernah menyakiti diri ini,
lalu darinya aku belajar menghargai.."

bila sahaja ada yang melukai, 
katakan tidak mengapa, 
"aku tidak akan berdendam,
kerana aku juga pernah melukai jiwa halusku, 
lalu darinya aku belajar untuk mengerti.."

bila sahaja ada yang tidak percaya, 
katakan tidak mengapa, 
"aku tidak akan melatah, 
kerana aku juga pernah khuatir pada kuatnya diri, 
lalu darinya aku belajar untuk mendepani.."  

Kata orang, 
"dari titisan air mata, kita belajar untuk mengerti.
dari rasa khuatir, kita belajar untuk mempercayai, 
dari rasa kehilangan, kita belajar menghargai.

Kata orang, 
"dari rasa bersalah, kita belajar memaafi, 
dari sebuah harapan, kita belajar berjuang,
dari sebuah perjuangan, kita belajar berkorban, 
dari sebuah pengorbanan, kita belajar mengenali diri.."

~Salam kasih~
Tia Shm